![]() |
Gambaran Saidina Abu Bakar |
Abu Bakar al-Siddiq
(Bahasa Arab: أبو بكر الصديق Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama
orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya,
beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar
(daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat
gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhafah.
KEHIDUPAN AWAL
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad
s.a.w. yang paling rapat sekali dan jurai salasilahnya adalah termasuk dalam
Bani Taim iaitu sub keturunan dari Arab Quraisy. Semasa Nabi Muhammad s.a.w.
berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang
mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W
mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas
penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana
jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka
yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang
Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi
pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun
selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.
Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa
membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang
membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mi'raj
yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan
baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa
tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai
peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.
MENJADI KHALIFAH
PERTAMA
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda
mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas
kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis iaitu majlis Syura', yang
dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang
khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu
Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.
Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada
beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah
kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan
Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang
perlantikan Saidina Abu Bakar.Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib
membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi
Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.
Jalaluddin al-Suyuti dalam karyanya al-Khulafa al-Rashidun
('Khalifah al-Rashyidun') menyatakan bahawa semasa perjumpaan Sayidina Abu
Bakar dan Sayidina Umar orang Islam Ansar di rumah Sa'd ibn Ubadah selepas
kewafatan Nabi Muhammad (SAW), Sayidina Abu Bakar pada mulanya mencadang dua
calon sebagai Khalifah, yakni Sayidina Umar dan seorang Sahabat lain, Abu Ubaidah
ibn al-Jarrah. Perbincangan menjadi hangat sehinggalah Sayidina Umar menyuruh
Sayidina Abu Bakar menghulurkan tangannya lalu Sayidina Umar mengambil tangan
Sayidina Abu Bakar dan memberi bai'ah kepadanya. Tindakan Sayidina Umar diikuti
Muhajirin dan Ansar. Selepas mendapat bai'ah, Sayidina Abu Bakar mencari
az-Zubair dan Sayidina Ali yang tiada di pertemuan itu. Kedua-dua mereka
dipanggil dan memberi bai'ah kepada Sayidina Abu Bakar apabila mereka tiba.
PEPERANGAN
ISLAM-RIDDAH
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik
menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam.
Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada
mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah
berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka
hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w.
telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah
bebas.
Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja
menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong
dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi
dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina
Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah.
Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang
mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Namun Khalid Al-Walid berjaya
menumpaskan Musailimah dalam pertempuran.
EKSPEDISI KE UTARA
Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu
Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi
Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq
dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam
beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina
Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah
memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab
dan bukannya di utara.
PENGUMPULAN
AL-QURAN
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan
Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar
Al-Khattab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula
menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran. Saidina Uthman Affan
kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan dengan membukukan al-Quran, iaitu
mushaf Uthmani, semasa beliau menjadi khalifah.
KEWAFATAN SAIDINA
ABU BAKAR
Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu
dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian
Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang
mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum
kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab
sebagai khalifah yang baru.
Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad
s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.
SUMBANGAN SAIDINA
ABU BAKAR
Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun
(632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau
berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad, tidak mahu
membayar zakat dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula
mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh
Islam.
No comments:
Post a Comment